Category Archives: Umum

Perutusan Pengetua Tahun 2018
Perutusan Pengetua Tahun 2018 avatar

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera

Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersua lagi pada tahun ini untuk meneruskan perjuangan kita dalam arena pendidikan. Sesungguhnya, ruang dan peluang yang Allah takdirkan kita sebagai guru ini akan menjadi laluan ke jannah nanti.

Tahun 2018, sangat bermakna kepada semua warga sekolah kerana mulai tahun ini, kita telah dinobatkan sebagai Sekolah Tranformasi. Pelengkap kepada Program Prakarsa Ke Puncak yang telah kita laksanakan pada tahun 2017, sesungguhnya Program Tranformasi Sekolah (TS25) yang bakal kita laksanakan ini adalah sebahagian daripada revitalisasi pengajaran dan pembelajaran kearah yang lebih global. Inisiatif Pengajaran dan Pembelajaran Abad 21 adalah keutamaan kita. Kejayaannya diukur bukan sekadar kepada pencapaian murid sahaja tetapi juga lebih kepada kemenjadian murid, selaras dengan enam aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Kemenjadian murid kini dilihat dari perspektif yang lebih luas, holistik dan pragmatik. Kita yakin, anak-anak yang dilahirkan kesan daripada Pembelajaran Abad 21 ini lebih berdaya saing dan menjadi tonggak pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan negara dalam era TN50 nanti. Justeru, kemenjadian murid inilah akan menjadi agenda utama sekolah kita.

Marilah kita bersama menyahut cabaran ini dengan bertungkus-lumus menyumbang tenaga dan usaha yang berterusan dalam membangunkan sekolah yang kita cintai ini. Bagi merialisasikan impian ini semestinyalah kita berusaha membentuk satu pasukan guru dan kakitangan yang berdedikasi, progresif dan dinamik di samping barisan pengurusan yang cekap dalam merangka dan melaksanakan perancangan yang telah dibuat. Percayalah budaya yang kita amalkan di sekolah ini sentiasa dicemburui oleh komuniti sekitar. Maka perlulah kita meneruskan agenda yang masih belum selesai di samping menambahbaik usaha-usaha yang telah menzahirkan kejayaan bermakna. Ingatlah, bersatu itu suatu permulaan, terus bersatu itu suatu kemajuan dan bekerjasama itu suatu kejayaan. Kita amat berharap agar pengurusan semua bidang pada tahun ini lebih baik. Besarlah harapan kita untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang akademiknya tanpa sedikit pun mengenepikan akhlak dan budi pekerti sebagai persediaan menghadapi cabaran pasca persekolahan . Akhir sekali, marilah sama-sama kita menyemai usaha dan cita demi membuahkan hasil yang melapangkan dada bila tiba masa tuaiannya nanti, Insaya Allah, keikhlasan yang kita hulurkan, keberkatan pula akan kita galas. Semoga usaha dan keikhlasan ini direstui oleh Allah S.W.T.

“Selangkah Sederap, Seiring Sebahu”

“Strive For Excellence”

(AHMAD B. MD ISA)

Pengetua.

SMK Kelibang, Langkawi

  1. 10 Disember 2017

Jom pi Hospital!
Jom pi Hospital! avatar

Pada 15hb. November 2017, SMK Kelibang telah dijemput ke Hari Terbuka Hospital Langkawi sempena 102 tahun penubuhannya. Sehubungan itu, pihak sekolah telah menghantar sekumpulan orang bersama 2 orang guru pengiring bagi memenuhi jemputan. Pelbagai aktiviti telah dijalankan. Rakaman gambar aktiviti semasa program terdapat di sini.

Terbaik… Kisah Legenda!
Terbaik… Kisah Legenda! avatar

Tahniah kepada adik Lesner Chai dan guru pembimbing beliau, Cikgu Amira Alias yang telah berjaya yang menduduki tempat kedua, Anugerah kostum Lelaki terbaik dan Anugerah pengkisahan terbaik di Pertandingan Pengkisahan dan Mitos Lagenda Langkawi. Tidak lupa juga pada sokongan dan bantuan guru-guru lain dalam membantu beliau.

Pertandingan tersebut diadakan di Auditorium Galeria Perdana pada 13hb. Novermber 2017. Program tersebut adalah anjuran bersama Maktab Rendah Sains MARA Langkawi, Galeria Perdana dan Jabatan Muzium Negara.

Rakaman pertandingan boleh didapati di sini, sementara klip video persembahan beliau pula di sini.

Hebat! The Kellys Spartan…
Hebat! The Kellys Spartan… avatar

Tahniah diucapkan kepada semua atlit dan juga jurulatih yang berjaya membolot semua tempat pertama dalam setiap kategori di Pertandingan Road Relay Luar Musim peringkat MSSD Langkawi pada 13 November 2017. Pertandingan yang bertempat di MRSM Langkawi.

Rakaman detik perlawanan boleh didapati di sini.

Cemerlang 2017…
Cemerlang 2017… avatar

Pada 30 Mac 2017 telah berlangsungnya program tahunan yang utama, iaitu Majlis Anugerah Kecemerlangan Pelajar. Majlis dirasmikan oleh Tuan Haji Marzuki bin Daud, iaitu Mantan Pegawai Pendidikan Daerah Langkawi dan juga Ketua Sektor Pengurusan
Pembangunan Kemanusiaan, Jabatan Pelajaran Negeri Kedah.

Program bermula pada pukul 8.30 pagi dengan kehadiran penerima anugerah bersama waris-waris mereka, termasuk tetamu-tetamu  jemputan dari pelbagai sekolah serta agensi-agensi lain.

Penyampaian anugerah dimulakan dengan kecemerlangan pelajar dalam bidang Kokurikulum, diikuti pelajar-pelajar pendidikan khas serta penghargaan kepada agensi-agensi kerajaan yang hadir. Diikuti pula dengan persembahan daripada pelajar-pelajar SMK Kelibang. Majlis diteruskan dengan penyampaian anugerah kecemerlangan pelajar dalam bidang Kurikulum termasuklah pelajar-pelajar yang cemerlang dalam PT3 dan juga SPM bagi sesi 2016.

Majlis diakhiri dengan penyampaian anugerah khas, iaitu Anugerah Tokoh Murid, Anugerah Khas Pengawas Sekolah dan Anugerah Khas Pengawas Pusat Sumber.

Klik sini untuk rakaman pada majlis tersebut.

Tahniah!
Tahniah! avatar

Tahniah kepada Pasukan Olahraga The Kellys yang berjaya merangkul 13 Pingat Emas, 13 Pingat Perak dan 11 pingat Gangsa dalam Kejohanan Balapan dan Padang Majlis Sukan Sekolah-sekolah Daerah Langkawi kali Ke-30 yang telah berlangsung pada 13 hingga 16 Mac 2017 yang lalu. Dengan pungutan pingat tersebut secara tidak langsung SMK Kelibang menduduki tempat ke2 secara keseluruhan bagi kategori sekolah menengah mendahului SMK Ayer Hangat dan SMK Tunku Putra. SMK Mahsuri berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai juara bertahan walaupun mendapat saingan hebat dari SMK Kelibang dan juga SMK Ayer Hangat. Tahniah kepada semua pemenang. Klik sini untuk rakaman pada kejohanan tersebut.

Perutusan Pengetua
Perutusan Pengetua avatar

Assalamualaikum Warahmatullahhi Wabarakatuh

ahmad-md-isa

Alhamdullillah, bersyukur ke hadrat Illahi kerana dengan izin dan limpah kurniaNya maka laman rasmi SMK Kelibang ini dapat dibangunkan. Objektif utama penghasilan laman rasmi ini adalah untuk memberi maklumat kepada semua pihak terutamanya para ibubapa tentang aktiviti-aktiviti terkini pihak sekolah dalam usaha mencemerlangkan para pelajar sama ada dalam bidang kurikulum, pembangunan sahsiah mahupun Kokurikulum. Harapan pihak sekolah agar dengan maklumat-maklumat yang terdapat dalam laman rasmi ini dapat memberi manfaat kepada semua terutamanya ibubapa di atas kejayaan anak-anak mereka.

Merujuk Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) diharapkan semua murid dapat menguasai semua aspirasi berkenaan iaitu pengetahuan, kemahiran berfikir, kemahiran dwibahasa, kemahiran memimpin, etika kerohanian, identiti nasional. Untuk itu Laman Web ini berperanan partisipasi mereka secara maya dari aspek menyumbang karya dan maklumat berkaitan.

Fokus utama SMK Kelibang dalam tahun 2017 ini ialah untuk meningkatkan pencapaian guru dan pelajar dalam semua bidang selaras dengan Visi dan Misi sekolah ini. Sehubungan dengan itu komitmen dan kerserasian antara guru dan murid melalui motto baru sekolah iaitu Selangkah Sederap, Seiring Sebahu diharapkan akan menjadi pemangkin dan pemaju arah dengan lebih berkesan.

Akhir kata, saya menyeru semua guru dan pelajar untuk sama-sama kita sederap meneruskan perjuangan yang belum selesai ini dengan ikhlas dan berlandaskan prinsip Ubudiyah (Pengabdian terhadap Allah), Mas`uliah (sentiasa berwaspada dan bertanggung jawab ke atas apa yang dilakukan)  dan Itqan (melaksanakan sesuatu amal atau kerja dengan cara yang bersungguh-sungguh). Mudah-mudahan kerja buat kita diterima sebagai ibadah dan dapat menjayakan visi dan misi sekolah sepanjang masa, Insyaallah.

AHMAD BIN MD ISA
Pengetua
SMK Kelibang, Langkawi
29 Disember 2016