All posts by Admin

Pengumuman
Pengumuman avatar

Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri dan Hari Pelanggan

Hari: Khamis
Tarikh: 27 Jun 2019. 
Masa: 10. 20 – 12. 40 tgh hari. 
Tempat: Dewan Imtiyaz SMK Kelibang. 
Pakaian: Baju Raya (sopan)

Hari Pelanggan : 12. 40 – 2. 00 ptg. 
Tempat: Kelas 

Selamat Hari Raya Maaf Zahir dan Batin daripada kami Warga SMK Kelibang.

Terima kasih YB!
Terima kasih YB! avatar

Pada 8 Januari 2019, YB Johari bin Bulat telah membuat lawatan rasmi ke SMK Kelibang. Lawatan beliau adalah meninjau kemudahan dan khidmat sekolah terhadap masyarakat setempat. Dalam pertemuan dengan pentadbir sekolah, beliau turut bertanya tentang pencapaian sekolah dalam bidang akademik dan juga kokurikulum serta hal ehwal murid. Pertemuan ini turut disertai oleh Timbalan PPD Langkawi, Tn. Hj. Mohd Kamal.

Dalam lawatan ini, YB telah melawat kelas aliran perdana dan juga kelas pendidikan khas serta bilik guru. Disamping itu, YB yang juga bekas guru sempat beramah mesra dengan rakan-rakannya yang masih berkhidmat. YB turut bertanyakan masalah-masalah yang dihadapi pihak sekolah dan bagaimana beliau dapat membantu.

YB telah menamatkan lawatan pada jam 11.20 pagi untuk memberi ruang kepada sekolah meneruskan urusan harian. Pihak sekolah berterima kasih atas kehadiran YB ke sekolah dan berharap kunjungan YB pada masa akan hadapan.

Perutusan Pengetua Tahun 2018
Perutusan Pengetua Tahun 2018 avatar

Assalamualaikum w.b.t. dan Salam Sejahtera

Syukur Alhamdulillah kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, kita dapat bersua lagi pada tahun ini untuk meneruskan perjuangan kita dalam arena pendidikan. Sesungguhnya, ruang dan peluang yang Allah takdirkan kita sebagai guru ini akan menjadi laluan ke jannah nanti.

Tahun 2018, sangat bermakna kepada semua warga sekolah kerana mulai tahun ini, kita telah dinobatkan sebagai Sekolah Tranformasi. Pelengkap kepada Program Prakarsa Ke Puncak yang telah kita laksanakan pada tahun 2017, sesungguhnya Program Tranformasi Sekolah (TS25) yang bakal kita laksanakan ini adalah sebahagian daripada revitalisasi pengajaran dan pembelajaran kearah yang lebih global. Inisiatif Pengajaran dan Pembelajaran Abad 21 adalah keutamaan kita. Kejayaannya diukur bukan sekadar kepada pencapaian murid sahaja tetapi juga lebih kepada kemenjadian murid, selaras dengan enam aspirasi murid dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM). Kemenjadian murid kini dilihat dari perspektif yang lebih luas, holistik dan pragmatik. Kita yakin, anak-anak yang dilahirkan kesan daripada Pembelajaran Abad 21 ini lebih berdaya saing dan menjadi tonggak pembangunan modal insan bagi memenuhi keperluan negara dalam era TN50 nanti. Justeru, kemenjadian murid inilah akan menjadi agenda utama sekolah kita.

Marilah kita bersama menyahut cabaran ini dengan bertungkus-lumus menyumbang tenaga dan usaha yang berterusan dalam membangunkan sekolah yang kita cintai ini. Bagi merialisasikan impian ini semestinyalah kita berusaha membentuk satu pasukan guru dan kakitangan yang berdedikasi, progresif dan dinamik di samping barisan pengurusan yang cekap dalam merangka dan melaksanakan perancangan yang telah dibuat. Percayalah budaya yang kita amalkan di sekolah ini sentiasa dicemburui oleh komuniti sekitar. Maka perlulah kita meneruskan agenda yang masih belum selesai di samping menambahbaik usaha-usaha yang telah menzahirkan kejayaan bermakna. Ingatlah, bersatu itu suatu permulaan, terus bersatu itu suatu kemajuan dan bekerjasama itu suatu kejayaan. Kita amat berharap agar pengurusan semua bidang pada tahun ini lebih baik. Besarlah harapan kita untuk melahirkan lebih ramai pelajar yang cemerlang akademiknya tanpa sedikit pun mengenepikan akhlak dan budi pekerti sebagai persediaan menghadapi cabaran pasca persekolahan . Akhir sekali, marilah sama-sama kita menyemai usaha dan cita demi membuahkan hasil yang melapangkan dada bila tiba masa tuaiannya nanti, Insaya Allah, keikhlasan yang kita hulurkan, keberkatan pula akan kita galas. Semoga usaha dan keikhlasan ini direstui oleh Allah S.W.T.

“Selangkah Sederap, Seiring Sebahu”

“Strive For Excellence”

(AHMAD B. MD ISA)

Pengetua.

SMK Kelibang, Langkawi

  1. 10 Disember 2017